Tanoti agih pelitup muka kepada 59 sekolah di bahagian Samarahan

TANGGUNGJAWAB SOSIAL: Jacqueline dan Mohamad Raba’ai merakam kenangan bersama pelajar pada Majlis Penyerahan Pelitup Muka di SK Wira Jaya, Kota Samarahan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on google

Utusan Borneo (Sarawak)19 Aug 2020

KUCHING: Tanoti Sdn Bhd (Tanoti) mengagihkan pelitup muka secara percuma kepada 59 sekolah di bahagian Samarahan.

Pengurus Tanoti Sdn Bhd Jacqueline Fong berkata,bantuan itu dapat direalisasikan hasil geran khas diperoleh daripada Yayasan Hasanah yang merupakan ahli kumpulan Khazanah Nasional Bhd.

“Kami amat gembira kerana dapat menjayakan hasrat untuk membantu memberikan pelitup muka secara percuma kepada pelajar dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 daripada terus menular,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Pelitup Muka di Sekolah Kebangsaan (SK) Wira Jaya di Kota Samarahan di sini, semalam.

Menurut beliau, pihaknya telah mengorak langkah proaktif pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan mengadakan Projek Menjahit Pelitup Muka yang seterusnya diedarkan kepada pelajar.

“Ia juga merupakan hasil kerjasama gabungan tukang jahit daripada golongan B-40 di kawasan Kuching, Samarahan, Lundu, Serian dan Simunjan,” ujarnya.

Sementara itu, Guru Besar SK Wira Jaya Mohamad Raba’ai Sedek mengucapkan terima kasih kepada pihak Tanoti Sdn Bhd dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Samarahan kerana memilih SK Wira Jaya sebagai salah sebuah sekolah untuk program pengagihan pelitup muka secara percuma.

Beliau berharap program sebegini akan diteruskan pada masa akan datang, bukan hanya dalam situasi PKPP sahaja.

Source : https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sarawak/20200819/281835761067429